Friday, March 2, 2012

GHOST RIDER WAJAR DITOLAK.. MENGAPA?








DALAM keluaran lalu dinyatakan meskipun filem sebuah fiksyen namun ia tetap merujuk realiti sebagai bahan pengkaryaan. Kreativiti pengkarya meramu bahan dari realiti sama ada mengekalkan nilai asal atau menambahkan nilai baharu.
Syaitan merupakan nilai asal yang diberikan nilai tambahan melalui proses kreatif dengan pembentukan watak dan perwatakan Johnny Blaze.
Jika Ghost Rider pertama memerihalkan perjanjian syaitan kini sekuelnya Ghost Rider: Spirit of Vengeance menjelaskan asal usul dan "mobiliti sosial" syaitan. Naratif yang dibina hanya alat sahaja. Sekuelnya kali ini lebih longgar kerana lebih penekanan ideologi satan Ghost Rider adaptasi komik Marvel dalam bentuk superhero. Dalam filem ini Johnny Blaze yang boleh bertukar menjadi Ghost Rider merupakan superhero dan protagonis. Naratifnya berkembang kepada tiga cabang.
Pertama ialah misi tunggal Blaze menyelamatkan Danny. Konsep asal perwatakan Blaze/Ghost Rider bukan menyelamatkan orang tetapi untuk membunuh Blackheart iaitu anak kepada syaitan yang memeterai perjanjian. Bagi mewajarkan perwatakan Ghost Rider menerusi sekuelnya, maka diwujudkan watak Danny. Moreau menawarkan jika Blaze berjaya mendapatkan Danny untuknya, Moreau akan membantu Blaze mengeluarkan syaitan yang bersemayam dalam dirinya.
Blaze menurut. Dia menyertai misi tersebut. Pada masa yang sama Carrigan yang diupah oleh Roarke turut menjejaki Danny. Roarke ialah watak baru iaitu bapa kepada Danny. Danny anak kepada Nadya yang mana Nadya telah membuat perjanjian dengan Roarke agar dia diberikan nyawa ketika nazak terjatuh dari bangunan tinggi. Roarke setuju tetapi Nadya mesti mengandungkan dan melahirkan seorang anak manusia iaitu Danny untuknya. Nadya mengandung tanpa persetubuhan.
Blaze berjaya mendapatkan Danny dan menuju ke gereja lama. Cabang kedua naratif pun diselesaikan dengan mengeluarkan syaitan dari tubuh Blaze. Moreau menerangkan asal usul syaitan dalam tubuh Blaze sebenarnya malaikat pelindung kepada manusia. Apabila diperdaya ia bertukar daripada malaikat pelindung kepada syaitan yang membalas dendam dengan melawan ketidakadilan.
Kemudian naratif berkembang ke cabang ketiga iaitu misi menyelamatkan Danny daripada digunakan Roarke untuk memindahkan kuasa syaitan dan roh ke tubuh Danny. Ritual pemindahan tersebut berjaya dihalang oleh Moreau dan Blaze. Namun Moreau dibunuh Carrigan. Manakala Blaze ditahan. Danny telah mengembalikan semula syaitan ke dalam tubuh Blaze. Blaze berjaya membunuh kesemua penjahat dan akhirnya Roarke walaupun ketika itu hari sudah siang. Pada adegan akhir, Blaze mulanya menganggap dalam dirinya ialah syaitan pembunuh yang kejam sebaliknya adalah malaikat pelindung.
Pengakhiran filem ini menjelaskan matlamat filem ini dicipta. Jika filem-filem Omen, Poltergeist dan Exorcist dibuat bagi menunjukkan permusuhan antara manusia dan syaitan, Ghost Rider sebaliknya berkempen kebaikan syaitan membantu manusia mengatasi kejahatan dan ketidakadilan.
Persekongkolan syaitan dengan manusia dianggap baik dan dijalin mesra serta naratifnya dibentuk sebab-akibat yang kuat bagi menyakinkan logik syaitan itu diterima sebagai kawan baik manusia. Kita sudah tentu menolak pandangan demikian. Malahan semua penganut agama samawi menolak persekongkolan manusia dengan syaitan. Namun secara realitinya terdapat banyak manusia menyembah syaitan.
KesucianDalam Kristian, Lucifer merujuk makhluk yang sangat jahat. Ia mewakili simbol keingkaran dan Lucifer dipercayai nama syaitan semasa di syurga. Dalam bahasa latin kata Lucifer bermaksud "pembawa cahaya" ialah nama untuk bintang fajar ketika muncul dini hari. Nama Lucifer digunakan untuk syaitan yang dipopularkan dalam karya sastera seperti Inferno oleh Dante dan Paradise Lost oleh Milton. Menerusi filem ini ritual pemindahan syaitan dari tubuh Roarke ke Danny dilakukan ketika dinihari.
Selepas Blaze 'menyedari' malaikat pelindung dalam tubuhnya, warna api marak daripada tengkorak dan motosikalnya berubah kepada warna biru jernih kristal melambangkan kesucian. Ini adalah cabang naratif ketiga sekaligus matlamat filem ini.
Dalam Islam, Azazil merupakan ketua iblis yang dilaknat Allah kerana enggan sujud menghormati penciptaan Adam. Kemudian Azazil (iblis) dan syaitan dihalau dari syurga ke dunia serta berlakulah ketetapan Allah yang mengkabulkan permohonan iblis merosakkan anak Adam.
Apabila kita membaca karya sastera dan menonton filem yang mengangkat elemen kesyaitanan haruslah diberi perhatian agar iktikad kita tidak lari daripada apa yang disogokkan. Hal ini diremehkan oleh sebahagian orang, kononnya ia fiksyen semat-mata untuk berhibur dalam gambar dan tulisan. Realitinya syaitan tetap wujud dan mempengaruhi diri manusia setiap masa.
Menerusi fiksyen kita berdepan dua sisi, iaitu sebagai imaginasi dan pemaparan daripada realiti. Tanpa benteng yang kuat daya pengaruh fiksyen dapat menyerap ke dalam minda dan jiwa penikmatnya lantas memberi kesan terhadap pegangan dan kepercayaannya. Filem ini wajar dikategorikan 13 PG.
Kritikan terhadap filem ini wajar dilakukan lantaran kebejatan moral, kelemahan akidah umat Islam dan keterpengaruhan anak muda terhadap muzik dan hiburan memuja syaitan. Kehadiran filem ini hiburan bermakna buat mereka. Malahan Victor Yamaguchi dalam laman web www.imdb.com menyatakan filem ini termasuk filem pertamanya, jauh menyimpang daripada adaptasi cerita asal dalam komik Marvel.
Kini industri filem kita sudah dipenuhi dengan lambakan filem seram. Lebih menakutkan filem seram kita memanipulasikan elemen agama dengan cara biadab. Malahan lebih hebat lagi ia dikomedikan sebagaimana berlaku dalam filem Hantu Bonceng. Ia digabungkan lagi dengan rencah seks. Inilah bahananya hiburan yang dibuat tanpa berfikir secara mendalam. Filem seram kita wajar diperbaiki selain menghindari meniru konsep dan kreativiti filem memuja dan mewirakan syaitan sebagai teladan.

TRAILER :



Sumber : Utusan Malaysia Online - Hiburan

No comments:

Post a Comment